1.0
Pengenalan
Demografi merupakan elemen
penting dalam pembangunan modal insan sesebuah negara. Demografi merujuk kepada tingkah laku
berkumpulan dan memberi gambaran penduduk dari segi berangka dimana penduduk
dianggap sebagai suatu kumpulan manusia yang diwakili oleh jenis-jenis
perangkaan tertentu. Ilmu demografi ini
telah di asaskan oleh Achille Guillard pada tahun 1855 dan mentakrifkan ilmu
demografi sebagai suatu penelitian sejarah sosial dan alamiah tentang spesis
manusia atau suatu ilmu matematik tentang penduduk, perubahan-perubahan yang
mereka alami, serta keadaan fizikal, sivil, intelek, dan moral penduduk
(Hollingsworth;1969).
Sehubungan dengan
itu, terdapat dua jenis data utama.
Pertama ialah perhitungan semua orang ada. Sesungguhnya data bentuk ini dikaitkan dengan
jumlah (bilangan) penduduk yang diperolehi melalui sumber banci, survei dan
sistem daftar pendaftaran. Malahan juga, data ini kebiasaannya diperolehi
melalui banci yang melibatkan perhitungan keseluruhan penduduk bagi tarikh yang
sama. Bentuk perangkaan lain ialah
catatan peristiwa hidup. Kebiasaannya
peristiwa diperolehi melalui beberapa skema pendaftaran yang dibentuk untuk
mencatatkan semua peristiwa tertentu iaitu kelahiran, kematian, perpindahan,
perkahwinan dan penceraian dan sering diperolehi melalui daftar peristiwa
penting (Muzahet: 1987: 3). Oleh hal
yang demikian, sumber data demografi adalah pelbagai dan sangat penting dalam
menentukan demografi penduduk di sesebuah kawasan. Kesimpulannya, demografi adalah pengajian
ilmiah yang sistematik mengenai peristiwa-peristiwa kependudukan baik dalam
berkelompok atau individu yang mempunyai fungsi dan tekanan yang berbeza namun
saling berkaitan antara satu sama lain (Goldsheider: 1971: 2-3).
2.0
Kepelbagaian, kekuatan dan kelemahan sumber
data demografi.
2.1
Banci
Banci didefinisikan sebagai
suatu proses pengumpulan, penyusunan, penjadualan, dan penerbitan data
demografi, ekonomi dan sosial yang mana sangat berkaitan dengan manusia,
ditempat tertentu atau di negara tertentu (PBB, 1958). Secara amnya, bancian merujuk kepada
perhitungan setiap individu dan mencatatkan setiap ciri-ciri yang dianggap
berkaitan individu berkenaan secara berasingan. Pada masa yang sama setiap
catatan dan perhitungan yang dibuat dilakukan pada masa dan tempoh
rujukan. Antara ciri-ciri banci meliputi
semua orang yang tinggal dalam sesuatu wilayah harus memberikan data yang
diperlukan. Ia juga perlu dilakukan pada
waktu tertentu yang harus dilaksanakan pada saat yang ditentukan secara
serentak, dan melitupi suatu wilayah tertentu yang mana ruang lingkup banci
harus meliputi batas yang tertentu.
Malahan juga, dari segi penggunaan moden banci merupakan kepada
pengiraan penduduk secara meluas.
Pengiraan ini dilakukan secara menemubual tiap-tiap orang atau isi
rumah, iaitu suatu tugas yang begitu meluas dan rumit. Banci merupakan sumber
yang paling baik untuk menentukan jumlah keseluruhan penduduk pada suatu tempoh
tertentu. Jumlah angka itu sendiri
sebahagiannya merupakan suatu persoalan yang melibatkan keputusan secara
arbitrari yang terdapat kategori-kategori penduduk tertentu yang biasa tidak
dimasukkan skop sesuatu banci. Begitu
juga, terdapat beberapa kumpulan orang yang tidak boleh dikira melalui tatacara
yang biasa, tanpa peruntukan yang khusus (Barclay;1987 :8-9).
Dalam pengiraan
sesuatu penduduk, terdapat dua pengiraan asas yang sering diguna pakai iaitu de facto dan de jure. Kedua-dua ukuran ini menghasilkan suatu saiz penduduk yang
berbeza bagi wilayah atau kawasan yang sama dalam sesebuah negara. Sistem de
facto mengambil kira seseorang yang dijumpai pada masa penghitungan banci
dilakukan. Pendekatan de facto ini diikuti oleh United Kingdom dan di
kebanyakkan negeri komanwel termasuk Malaysia. Manakala sistem de jure mengambil kira orang yang
disenaraikan di tempat tinggal mereka tanpa mengambil kira dimana mereka berada
semasa bancian dilakukan dan diamalkan di Amerika Syarikat dan Perancis.
Kekuatan yang
diperolehi melalui sumber banci antaranya ialah maklumat yang diperolehi
dianggap paling tepat. Hal yang demikian
kerana maklumat yang diperolehi berdasarkan maklumat responden di
lapangan. Secara umumya, sebarang
maklumat dikeluarkan oleh responden dianggap mempunyai kejituan yang
tinggi. Banci juga dianggap sebagai sumber
bahan rasmi yang paling penting kepada ahli geografi dan juga penduduk
setempat. Hal yang demikian melalui
banci, ia memberi satu gambaran yang statik terhadap keseluruhan penduduk di
suatu masa, tempoh dan tempat tertentu.
Gambaran ini juga berguna untuk mengenalpasti demografi penduduk dan
memudahkan sesuatu kajian dilakukan di suatu tempat yang dipilih oleh
penyelidik mengenai sesuatu kawasan.
Sumber bahan rasmi
ini juga menjadi rujukan untuk melakukan survei lain . Berdasarkan maklumat
yang diperoleh melalui banci boleh dijadikan sumber dan persediaan awal sebelum
survei dilakukan dilapangan. Hal yang
demikian membuka peluang kepada para pengkaji untuk melakukan sesuatu kajian
dengan lebih meluas dan mendalam.
Malahan juga, hasil kajian penyelidikan yang dilakukan dapat mewujudkan
satu dasar asas di peringkat pentadbiran.
Penghasilan sumber ini daripada fakta yang lebih halus terhadap analisis
demografi yang dilakukan dan implikasinya adalah untuk kegunaan masa depan.
Antara kekuatan lain yang diperoleh dalam banci adalah bebas dari
pengaruh kesalahan sampel (sampling error)
Seperti yang diketahui, data dalam banci
yang dikumpul berdasarkan sampel menyebabkan ‘sampling error’ diperkenalkan dalam hasilnya. Perbezaan pasti akan wujud dalam pelbagai
sampel saintifik sama ada dipilih atau tidak, perbezaan mungkin wujud antara
sifat-sifat penduduk dan kumpulan yang lebih besar berdasarkan sampel yang
dipilih. Walaubagaimanapun, dalam sampel
saintifik yang sering digunapakai dalam banci ‘sampling error’ mudah diukur berdasarkan keberangkalian dan boleh
dikawal apabila mencapai tahap standing kesilapan merentasi kumpulan atau
kawasan geografi. Oleh hal yang
demikian, menunjukkan banci bebas dari kesalahan sampel yang diperolehi dan datanya
selamat untuk digunapakai.
Manakala kelemahan yang dikesan dalam sumber banci ini terdapat dalam pendekatan
de facto dan de jure sebagai pengiraan bancian. Kelemahan de facto pertamanya, kesukaran mendapatkan keterangan tentang
orang-orang yang berada didalam perjalanan (transit). Kedua, kaedah ini boleh membesarkan saiz
penduduk di bandar-bandar atau di tempat pelancongan. Manakala kelemahan yang terdapat pada
pendekatan de jure pula menyebabkan
timbulnya masalah yang melibatkan bahagian penduduk yang mempunyai lebih dari
sau tempat kediaman. Selain itu juga terdapat juga masalah untuk menghitung
orang-orang yang tidak ada semasa banci dilakukan. Butir-butir orang-orang yang tidak ada di
tempat kediaman biasa menyebabkan mereka terpaksa dipindahkan. Perkara demikian akan melambat dan
menimbulkan hitungan berganda (Sidhu et al;1977).
Selain itu, banci
mempunyai had-had yang tersendiri.
Biasanya terdapat pertalian yang rapat antara kualiti banci dengan
pembangunan sosio-ekonomi sesuatu negeri.
Menurut Zelinsky, bahawa di kalangan ‘ bangsa yang pencapaian
teknologinya terhad, terdapat beberapa masalah yang sukar melebihi masalah
pentadbiran iaitu kejahilan, syak wasangka, permusuhan, dan kadangkala penipuan
di pihak mereka dikira, biasa juga disebabkan oleh kurangnya pengertian terhada
masa atau kepentingannya iaitu kesukaran fizikal untuk berhubung dengan
kawasan-kawasan pendalaman (Sidhu et al;1977).
Di negeri-negeri Barat pengumpulan data banci adalah suatu proses yang
sudah matang dan melbatkan pengumpulan maklumat yang pelbagai, namun masalah
masih juga hadapi. Misalnya di Great
Britain, selepas 170 tahun banci dilakukan, pada tahun 1970 mendapat tentangan
pertama kalinya. Justeru itu telah
menimbukan syak wasangka bahawa banci boleh menganggu ‘privacy’ seseorang.
Di samping itu,
tempoh pengumpulan data banci selama 10 tahun sekali tidak dikekalkan. Hal yang demikian berlaku di Malaysia apabila
banci-banci yang di ambil tidak mencakupi tempoh 10 tahun seperti yang
diwar-warkan. Hari dan bulan bancian
dilakukan juga adalah berbeza-bezadari satu banci ke satu banci yang lain.
Situasi ini dapat dilihat di Malaysia pada tahun bancian 1921, 1931, 1947,
1957, 1970, 1980,1991,dan 2000. Malahan
juga, rekod-rekod terdahulu juga tidak disimpan selain daripada jilid-jilid
yang diterbitkan (Sidhu et al: 1977: ) .
Tambahan pula, banci
pada kebiasaannya dilakukan tiap sepuluh tahun sekali, tempoh ini telah
menyebabkan pelbagai perubahan berlaku.
Perubahan yang berlaku ini akan menyebabkan beberapa indikator yang
digunakan akan berada pada tahap lemah seperti kelemahan ukuran umur, tanggal
pernikahan, dan tahun kelahiran. Malahan juga, kelemahan lain yang dikenalpasti
dalam banci adalah kesalahan kejituan dan ketepatan laporan banci. Hal yang demikian berlaku disebabkan
berlakunya kesalahan dalam mencatat data semasa dilapangan dan menyebabkan
kesulitan untuk dianalisa. Perkara
sedemikian dekatakan berpunca daripada pembanci dan pelapor yang kurang latihan
dan kemahiran.
Terdapat keraguan
terhadap semua fakta yang dipungut melalui banci. Kelazimannya keraguan berlaku
lebih besar berbanding dengan kes umur yang dilaporkan. Oleh hal yang demikian
kerana taburan bagi kebanyakkan ciri dalam suatu penduduk mempunyai perkaitan
antara umur, jadual perangkaan umur yang telah dikelaskan. Namun kadangkala cara demikian tidak dapat
digunakan. Dengan demikian jadual
penduduk yang dihasilkan perlu berkecederungan mengikut format khusus yang
ditetapkan. Contohnya dapat dilihat
taraf perkahwinan jelas bergantung kepada umur dan jantina seseorang, jadi
tidak bermakna bagi kita untuk mengetahui angka bujang, berkahwin, janda
bercerai tanpa memisahkan antara lelaki dan perempuan dan mengenai umur mereka.
2.2
Survei
(Tinjauan persampelan)
Survei merupakan
sumber data kedua yang digunakan bagi mendapat maklumat di lapangan. secara amnya, survei merupakan suatu proses
pengumpulan maklumat berdasarkan pengkhususan kajian yang lebih meluas dan
mendalam. Survei umumnya digunakan oleh
para penyelidik sosial untuk mendapatkan maklumat yang terperinci dan spesifik
terhadap perkara yang berkaitan dengan tingkah laku penduduk, sikap,
kepercayaan, pendapat, kareteristik, pengetahuan dan harapan responden (Barclay:
1987: 13-15). Dalam sesetengah negara
tinjauan sampel begitu digunakan secara meluas dan telah menjadi begitu tepat
bahawa banci kebangsaan menyajikan kurang untuk menyediakan jumlah kebangsaan
komposisi penduduk daripada untuk menyediakan data mengenai kawasan yang lebih
kecil, negeri, bandar, negara, untuk membenarkan pecahan lebih terperinci ke
dalam kategori ditapis danlebih terperinci merentas pengelasan ciri-ciri daripada
melakukan kaji selidik sampel.
Kebaikan yang
terdapat dalam survei pula dikesan
apabila kaedah ini juga lebih kerap digunakan berbanding banci. Tempohnya lebih kerap dan tidak ditetapkan
masa seperti banci. Malahan juga, survei
ini sering dilakukan secara persendirian, manakala kebiasaannya banci
ditetapkan oleh pemerintah. Hal yang
demikian menunjukkan survei boleh dilakukan pada bila-bila masa dan dimana
sahaja. Kajian melalui survei juga turut
digunakan bagi memantapkan maklumat untuk bancian. Teknik yang sering dijalankan dalam kaedah
ini juga sama dengan banci dalam urusan mengurus dan mengumpul data. Oleh hal yang demikian, di sini boleh
dirumuskan bahawa survei adalah proses pengumpulan data yang lebih khusus dan
mendalam terhadap sesuatu data maklumat yang dijalankan di lapangan.
Kebiasaan, siasatan bukan sahaja mempunyai
bidang dan skala yang lebih kecil tetapi kerap kali terhad kepada suatu sampel
penduduk (Barclay: 1987: 13-15). Prinsip
persampelan membuka beberapa kemungkinan lebih fleksibel dari segi pungutan
data persampelan. Pengurangan jumlah
individu yang akan di siasat, persampelan dapat mengurangkan kos dan menumpukan
perhatian yang lebih terhadap ketepatan maklumat bagi setiap individu. Sampel
akan dirangka terlebih dahulu untuk mendapatkan perangkaan sesuai digunakan
kepada penduduk. Pemilihan individu
sebagai responden perlu dirancang supaya setiap individu mempunyai peluang yang
sama untuk terpilih.
Kekuatan lain yang
ada pada survei ini juga melalui pengumpulan data. Data yang dikumpul diperolehi dengan lebih
jelas dan khusus. Kedalaman pemahaman dan respon daripada responden adalah
tinggi (Pollard: 1987: 9-10). Hal yang
demikian dapat mengelakkan berlakunya kekurangan data kajian. Tambahan pula, topik yang digunakan adalah
lebis spesifik dan terperinci. Perincian
ini menyebabkan sesuatu maklumat diperoleh dengan lebih jelas dan tidak
menimbulkan kepincangan maklumat.
Pengumpulan data melalui kaji selidik ini juga menyebabkan sumber data
yang diperoleh adalah lebih luas skopnya. Justeru itu, sesuatu maklumat
demografi penduduk dapat diperoleh dengan lebih mudah dan mendalam. Kesahihannya ada bergantung kepada responden
sebagai sumber maklumat.
Selain itu, kelemahan
yang terdapat dalam sumber data demografi ini antaranya adalah data persampelan
yang digunakan dalam siasatan tidak bebas daripada keadaan yang sentiasa
berubah-ubah disebabkan kepelbagaian dan perpindahan penduduk. Hal yang demikian telah menimbulkan masalah
lain dalam membentuk kesimpulan daripada sampel data kerana angka-angka yang
diperhatikan mungkin menyeleweng daripada angka sebenar. Penyelewengan ini dijangkakan boleh
dianggarkan berasaskan kepada reka bentuk sampel. Ketidaktepatan angka yang digunakan juga
boleh menyebabkan ‘bias’
berlaku. Hal ini merupakan alasan utama
perlunya memberikan perhatian yang wajar terhadap peraturan tatacara
persampelan.
Kelemahan survei yang
dikesan adalah wujudnya informasi yang disembunyikan daripada responden
terutamanya yang berkaitan dengan sifat, motivasi, kewangan, atau perilaku
responden. Hal yang demikian telah menyukarkan
ketepatan untuk mendapat sesuatu maklumat berkaitan responden. Malahan juga, kemungkinan yang besar bahawa
responden kadang-kala tidak akan memberi jawapan terhadap persoalan yang
dikemukan oleh pengkaji. Namun,
keberangkalian besar responden akan memberi jawapan yang sebaliknya mengikut
kefahamannya sendiri.
Di samping itu juga,
wujudnya kelemahan apabila responden terlalu membatasi pada jawapan-jawapan
tertentu. Hal yang demikian kerana
keterujaan pada responden untuk memberi maklumat dan berkongsi apa yang
diketahui menyebabkan situasi tersebut berlaku (Pollard: 1987: 9-10). Dari segi pengumpulan maklumat di lapangan
menggunakan kaji selidik pula, kelemahan yang timbul adalah apabila responden
sering tidak mengembalikan borang kaji selidik.
Hal yang demikian menyukarkan pengkaji mendapatkan maklumat dan respon
terhadap kajian. Oleh itu, kelemahan ini
menyebabkan data yang diperolehi tidak seperti yang diharapkan oleh pengkaji
dan tidak menepati kertas kerja sebelum survei dijalankan
2.3
Sistem
pendaftaran
Sistem pendaftaran
merupakan salah satu sumber data demografi diperolehi untuk mendapatkan
maklumat penduduk. Sistem pendaftaran
adalah proses pengendalian, pengumpulan dan penerbitan data diuruskan oleh
agensi pemerintah di peringkat pusat, negeri maupun tempatan. Sistem pendaftaran merupakan suatu cara
paling baik untuk mencatatkan peristiwa-peristiwa yang berlaku. Kebiasaannya sistem ini adalah wajib dilakukan. Sumber ini juga sama seperti banci dan survei
yang melibatkan mengumpulkan data individu terutamanya data penting (vital
record). Rekod catatannya standard bagi
melaporkan sesuatu peristiwa penting seperti kelahiran hidup, kematian, perkahwinan, penceraian dan migrasi
antarabangsa (Bogue: 1969: 106-108).
Kekuatan yang diperolehi
dalam sistem pendaftaran ini antaranya adalah tugas pengumpulan data tidak
begitu sukar berbanding dengan banci.
Hal yang demikian, kebanyakkan data yang diperolehi datang daripada
responden atau perseorangan dalam sesuatu pendaftaran. Pendaftaran yang maksudkan adalah sistem
pendaftaran pengenalan diri, sistem pendaftaran perkahwinan, migrasi dan
lain-lain lagi. Ini memudahkan pengumpul
data untuk mendapatkan maklumat dan tidak perlu banyak bergerak semata-mata
untuk mendapatkan data demografi. Maka
data-data yang diperolehi dianalisis dan keberangkalian kesahihan maklumat
adalah tinggi kerana semasa sesi pendaftaran dilakukan responden perlu
memberikan beberapa maklumat sama ada dalam bentuk peribadi atau sebaliknnya
sebagai syarat pendaftaran.
Manakala kelemahan
yang dikenalpasti antaranya sumber ini dianggap tidak cekap. Hal yang demikian kebanyakan
berlaku di negara membangun. Kekurangan minat oleh penduduk tempatan untuk
mencatat aktiviti harian mereka dalam pensijilan peristiwa penting menjadi
puncanya (Bogue: 1969: 106-108). Perkara
sedemikian menyebabkan sistem pendaftaran dianggap tidak mampu berfungsi degan
baik. Selain itu juga, pengkelasan
ciri-ciri peribadi turut menimbulkan masalah besar dalam sistem pendaftaran. Hal ini terjadi akibat terdapat pelbagai
jenis peristiwa yang mana setiap satunya harus dijelaskan peristiwa yang
berlaku. Maka dengan itu menyebabkan
tidak wujud suatu catatan mengenai orang secara keseluruhannya yang boleh di
jadikan rangka kerja bagi angka-angka lain.
Seterusnya, kelemahan
sistem pendaftaran terungkap apabila timbulnya masalah untuk mendapatkan
sebahagian besar maklumat yang diperlukan.
Seorang pendaftar bertanggungjawab mengekalkan standard pengkelasan yang
seragam terpaksa mendapatkan sebahagian besar maklumat yang diperlukannya
daripada seseorang yang tidak mempunyai perkaitan secara langsung dengan
sesuatu peristiwa. Misalnya, kematian tidakndilaporkan oleh orang yang terlibat
menyebabkan kematian tetapi oleh orang lain yang berkemungkinan tidak mempunyai
dorongan untuk memberikan laporan yang tepat.
Malahan juga, laporan
yang menimbulkan keraguan terhadap semua perangkaan. Hal yang demikian, berkaitan dengan kelahiran
hidup dan kelahahiran mati. Apabila
seseorang bayi mati tidak berapa lama selepas dilahirkan, mungkin akan
menimbulkan kekeliruan berhubung dengan masalah hidup (Bogue: 1969: 106-108). Walaupun fakta itu jelas tetapi orang
seringkali membuat kesilapan. Selain
itu, kesilapan yang jelas dan kecenderungan turut melambatkan pendaftaran,
kadangkala sehingga ke tahun berikutnya.
Akibatnya, kadar kelahiran dan kadar kematian bayi tidak seharusnya
diterima tanpa kajian terhadap sistem pendaftaran dan perlaksanaannya di
sesebuah negara terlebih dahulu.
2.4
Sumber data lain
2.4.1
Penduduk data dari operasi pentadbiran
Dalam usaha untuk
mentadbir program-program tertentu, adalah perlu untuk mengumpul maklumat yang
boleh dijadualkan untuk menghasilkan maklumat demografi. Data-data ini biasanya hanya merujuk kepada
segmen penduduk, tetapi untuk kajian khusus demografi ini tiada had. Dalam skim
keselamatan sosial contohnya, mengumpul maklumat mengenai semua pekerja dalam
tenaga buruh dan mengenalpsti pesara di bawah skim ini. Malahan juga, pengerahan tentera memerlukan tenaga
lelaki antara umur tertentu untuk mendaftar dan memberikan maklumat tentang
diri mereka (Weeks: 2008: 134).
Banyak potensi
sumber-sumber data tidak dieksploitasi kerana perbelanjaan yang besar
memindahkan maklumat kad tebuk atau sebaliknya menyediakan untuk penjadualan. Walau bagaimanapun, semua ini menggunakan operasi
pentadbiran berkomputer (Weeks: 2008: 135). Keputusan rekod diringkaskan untuk statistik yang
lebih mudah. Kelemahan yang dikenalpasti
dalam sumber data ini adalah apabila data yang disediakan oleh operasi
pentadbiran adalah terhad, mereka boleh menyediakan rangka pensampelan yang lebih
ideal daripada menjalankan kaji selidik khas. Sebagai contoh, menemuramah rutin isi rumah
yang dipilih secara rawak, sampel wakil migrasi, orang bercerai, anggota
kumpulan agama atau etika tertentu, atau pasangan yang mempunyai dua orang
anak.
3.0
Kesimpulan
Tuntasnya terdapat
sumber data demografi yang utama dalam proses pengumpulan data. Data-data yang
dimaksudkan antaranya ialah banci, survei, dan sistem pendaftaran. Hasil yang diperolehi menggunakan sumber data
ini adalah berbeza, namun perbezaan yang berlaku dalam angka yang kecil. Malah, kadangkala terdapat jurang yang boleh
menghalang penganalisisan data dilakukan mengikut susunan. Laporan tersebut mungkin akan berselerak.
Jadi, sumber data ini dikenalpasti mempunyai kekuatan dan kelemahan antara satu
sama lain. Walaubagaimanapun, sumber data
demografi menjadi sumber penting dalam sesuatu pengumpulan maklumat terutamanya
melibatkan pentadbiran. Oleh hal yang demikian, sumber data-data ini menjadi
sumber untuk dianalisis sebelum proses selanjutnya dilakukan.
Rujukan
Barclay W George. 1987.
Teknik Menganalisis Penduduk.
Terjemahan Muzahet Masruri. Kuala Lumpur; Penerbit Dewan Bahasa dan Pustaka.
Bogue Donald J. 1969.
Principles of Demography. Chicago; Penerbit Community and Family
Center, University of Chicago.
Goldscheider
Calvin. 1971. Populasi, Modernisasi, dan
Struktur Sosial. Jakarta; Penerbit; CV. Rajawali, Jakarta.
Hollingsworth
T.H.1969. Historical demography, The Sources of History; Studies in the Uses of
Historical Evidence. London; Penerbit Dean stree.
Sidhu S. Manjit & Asmah Ahmad. 1977. Sifat Geografi Penduduk. Kuala Lumpur. Penerbit; Universiti Malaya.
Pollard A.H, Farhat
Yusuf dan Pollard G.N. 1987. Demographic
Technique. Australia; Penerbit Pergamon Press, Macquarie University.
Weeks John R. 2008. Population; An Introduction to Concepts and
Issues, Eleventh Edition. Belmont; Penerbit San Diego State University.
Comments
Post a Comment